KHARTOUM: Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang melakukan protes di ibu negara Sudan.
Ribuan penduduk `turun ke jalanan’ menyertai protes di Khartoum dalam siri demonstrasi berlangsung selama beberapa bulan.
Lapor Al Jazeera, penunjuk perasaan mengecam rampasan kuasa tentera yang berlaku pada Oktober tahun lalu sehingga menjerumus Sudan ke dalam kancah kekacauan.
Penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada lelaki dan wanita muda berarak di sekitar jalanan di seluruh ibu negara Sudan sambil menuntut menghentikan rampasan kuasa tentera.
Para penunjuk perasaan juga menggesa sebuah kerajaan awam sepenuhnya untuk mengetuai peralihan negara kepada demokrasi yang kini terhenti.
Rampasan kuasa itu menghentikan peralihan Sudan kepada pemerintahan demokrasi yang dilancarkan selepas tiga dekad penindasan dan pengasingan antarabangsa dibawah kepimpinan Presiden Omar al-Bashir. – AGENSI