SYDNEY: Perdana menteri Australia, Scott Morrison menuduh China melakukan ‘tindakan ancaman’ selepas mendakwa kapal perang milik negara itu memancarkan laser terhadap satu daripada pesawat pertahanan negara ini.
Kapal perang itu merupakan satu daripada dua kapal China yang berlayar di luar perairan utara Australia pada Khamis lalu apabila didakwa memancarkan laser terhadap pesawat pemerhati tentera negara ini.
Jabatan Pertahanan Australia menyifatkan tindakan itu berpotensi membahayakan nyawa sekiranya pesawat perang berkenaan terhempas akibat pancaran laser tersebut.
“Saya melihat tindakan (China) ini sebagai satu ancaman,” kata Morrison.
Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton turut senada dengan Morrison dan menyifatkannya sebagai ‘tindakan agresif’.
“Saya berpendapat, kerajaan China berharap tiada mana-mana pihak bercakap soal tindakannya yang sering membuli negara lain.
“Dua kapal itu berlayar menerusi Laut Arafura di utara Australia,” ujarnya.
Setakat ini, kerajaan China enggan memberi maklum balas mengenai dakwaan Australia.
Kali terakhir China didakwa menyasarkan pesawat Australia menggunakan pancaran laser adalah pada 2019.
Kejadian itu berlaku apabila helikopter milik Pasukan Pertahanan Australia terbang di sekitar Laut China Selatan. – AFP











