ZURICH: Kemunculan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron pada mulanya dilihat bakal memburukkan situasi pandemik yang melanda seluruh dunia.
Kadar keberjangkitannya yang disifatkan lebih cepat berbanding Delta, namun tidak menyebabkan gejala berat menyaksikan banyak negara merekodkan peningkatan kes jangkitan.
Bagaimanapun, varian tersebut mungkin boleh dianggap sebagai ‘faktor perubahan’ apabila semakin banyak negara menjadikan kemuncak jangkitannya untuk melonggarkan semua sekatan Covid-19.
Benua Eropah menjadi antara negara paling banyak melonggarkan sekatan Covid-19 sejak awal tahun ini.
England merupakan negara pertama di dunia yang menarik semula semua sekatan Covid-19 dengan alasan, kemuncak jangkitan yang disebabkan oleh Omicron sudah berakhir, selain yakin dengan program imunisasi yang dilakukan.
Selepas itu, beberapa negara Eropah lain turut mengikut jejak langkah England.
Terbaharu, SWITZERLAND mengambil keputusan untuk melonggarkan semua sekatan Covid-19 selepas kerajaan negara ini yakin dengan situasi pandemik yang berlaku.
Kerajaan Zurich mengumumkan, pelitup muka perlu dipakai ketika menaiki pengangkutan awam dan mengunjungi pusat kesihatan, namun peraturan itu hanya sementara.
Presidennya, Ignazio Cassis berkata, sudah tiba masanya masyarakat negara ini belajar hidup dengan Covid-19, selain tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan semula semua sekatan sekiranya penularan menjadi kritikal.
“Virus ini akan sentiasa ada dan kita perlu belajar untuk hidup dengannya dengan mengamalkan apa yang kita faham tentang koronavirus,” katanya.
Dalam pada itu, Switzerland masih mengekalkan peraturan individu yang positif Covid-19 perlu kuarantin selama lima hari sehingga penghujung Mac.
Namun, semua premis perniagaan boleh beroperasi seperti biasa.
AUSTRIA
Menjelang 5 Mac, Austria juga akan menarik semula semua sekatan Covid-19, termasuk peraturan mengehadkan waktu operasi bar dan restoran.
Canselor Karl Nehammer berkata, keputusan itu dibuat selepas kes jangkitan harian berjaya dikekalkan pada tahap terendah dan situasi pandemik di negara ini dalam keadaan terkawal.
Langkah itu juga dibuat selepas kerajaan menilai Omicron terbukti hanya menyebabkan gejala jangkitan ringan berbanding varian sebelum ini.
“Pada 5 Mac, semua sekatan Covid-19 yang selama ini ‘membebankan’ rakyat akan dihentikan.
“Golongan yang belum divaksin boleh masuk mana-mana premis perniagaan asalkan mereka sudah menjalani ujian Covid-19 dan hasil keputusan negatif,” ujarnya.
Selepas ini, terpulang kepada sembilan wilayah di Austria sama ada ingin melaksanakan sekatan yang lebih ketat berbanding kerajaan persekutuan.
JERMAN
Jerman bakal meraikan ‘hari kebebasan’ selepas semua sekatan Covid-19 di negara itu ditarik balik pada 20 Mac ini.
Keputusan itu dicapai selepas pihak berkuasa kesihatan negara itu menilai kadar jangkitan akibat Omicron sudah melepasi kemuncak.
Jerman akan melaksanakan kelonggaran itu menerusi tiga langkah utama, termasuk membenarkan golongan tidak divaksin memasuki premis perniagaan dan restoran.
“Selepas dua tahun kita terikat dengan pelbagai sekatan, sudah tiba masanya kita mulakan hidup baru atau sekurang-kurangnya normal seperti sebelum ini,” kata Canselor Olaf Scholz.
Kelonggaran itu bakal menyaksikan penduduk Jerman boleh mengadakan perhimpunan dan mengunjungi tempat tumpuan ramai, namun masih perlu mengenakan pelitup muka.
Jelas Scholz, selepas 20 Mac, ekonomi, sosial dan politik Jerman akan bergantung kepada ‘langkah perlindungan asas’ seperti yang diamalkan sebelum ini.
NEGARA LAIN
Sementara itu, negara Eropah lain yang turut mengambil langkah sama termasuk Ireland, Denmark, Norway dan Belanda. – AFP/REUTERS