BEIJING: Seorang lelaki dari China dilaporkan diculik dan dijadikan ‘hamba darah’ selama beberapa bulan di Kemboja selepas terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu.
Lapor Daily Star, lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li berjaya melarikan diri pada awal bulan ini dengan bantuan ahli kumpulan yang menculiknya.
Berdasarkan laporan South China Morning Post, Li ketika ini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Sejak Ogos tahun lalu, kumpulan itu mengambil sebanyak 800 mililiter (ml) darah setiap bulan daripada badan Li.
Berdasarkan garis panduan kesihatan global, manusia tidak boleh menderma darah melebihi 500 ml bagi setiap sesi.
Dilaporkan, darah itu dijual kepada pembeli persendirian secara dalam talian.
Lengan Li mengalami lebam teruk dan dipenuhi kesan jarum ketika dimasukkan ke hospital pada minggu lalu.
Sementara itu, Li yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Shenzhen dan Beijing berkata, dia menolak untuk terlibat sama dalam skim penipuan kumpulan tersebut.
Katanya, kumpulan itu menggunakannya sebagai ‘hamba darah’ selepas mengetahuinya seorang yatim piatu dan tidak boleh digunakan untuk wang tebusan.
Li pada mulanya terpedaya dengan tawaran iklan pekerjaan palsu dan ditahan oleh individu bersenjata serta dibawa merentasi sempadan China-Vietnam.
Lelaki itu kemudian dijual pada harga AS$15,000 (RM62,801) kepada kumpulan Kemboja yang menjalankan skim penipuan.
Menurut Li, tujuh lelaki lain turut ditahan dalam bilik yang sama dengannya.
“Oleh kerana saya mempunyai darah jenis O negatif, kumpulan itu mengambil lebih banyak darah berbanding lelaki lain,” katanya. – AGENSI











