KARAWANG: Kebakaran yang berlaku di Sekolah Pondok Miftahul Khoirot di Desa Manggungjaya, Karawang, Jawa Barat semalam didakwa berpunca daripada litar pintas pada kipas angin.
Berdasarkan keterangan beberapa saksi, mereka ternampak percikan api keluar dari kipas tersebut sebelum kebakaran berlaku.
Insiden itu meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa pelajar yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun dan tiga cedera.
“Menurut beberapa saksi, mereka ternampak percikan api dari kipas angin itu menyambar tilam dan kebakaran berlaku di tingkat dua sekolah berkenaan.
“Ketika itu, para pelajar sedang berehat dengan ada diantaranya tidur dan api mula marak kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan,” kata Ketua Polis Karawang, Aldi Subartono seperti yang dilapor Tribunnews.
Seorang saksi yang dikenali sebagai Hilman Faqih menceritakan, dia cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun api terlalu marak.
Katanya, sebahagian pelajar sudah keluar menyelamatkan diri dan ada yang terperangkap sambil menjerit meminta tolong.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Karawang dikerahkan ke lokasi kejadian dan memaklumkan kebakaran berjaya dikawal satu jam kemudian
Ketuanya, Rohmat memaklumkan, bomba tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada litar pintas dan akan bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti punca kejadian.
“Sebanyak tiga jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran dan keadaan terkawal satu jam kemudian,” ujarnya.
Sementara itu, insiden tersebut menyuntik rasa sedih dalam kalangan penduduk setempat yang menyifatkan pelajar di sekolah pondok itu amat baik dan mendengar kata.
“Saya tidak dapat bayangkan jika berlaku terhadap anak sendiri. Saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku dan diharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.