Kerajaan Malaysia lambat bertindak selamatkan rakyat di Ukraine

Kerajaan Malaysia lambat bertindak selamatkan rakyat di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu lebih proaktif memainkan peranan dalam peringkat antarabangsa demi memastikan kepentingan negara dan keselamatan rakyat Malaysia di Ukraine terjamin.

Mengaku sedikit kecewa terhadap kelewatan pihak kerajaan, Pensyarah Undang-Undang Laut Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli memberi peringatan kepada pihak kerajaan supaya tidak terus alpa.

Jelasnya, kealpaan kerajaan sebelum ini pernah menyebabkan Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian dengan Singapura.

“Dalam kes Laut China Selatan, sekiranya kita tersalah langkah kita juga akan kehilangan sebarang tuntutan di sana.

“Sama juga seperti isu di Ukraine, kenapa kita perlu tunggu sampai perang meletus baru hendak bawa rakyat keluar dari sana? Sedangkan negara lain sudah mengambil tindakan membawa rakyat mereka keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia minggu lalu, Mohd. Hazmi mempersoalkan tindakan Wisma Putra yang tidak mengarahkan rakyat Malaysia untuk keluar dari Ukraine sebaliknya terus memantau perkembangan konflik negara itu dengan Rusia.

Jelasnya, Malaysia seharusnya mengambil langkah awal dengan membawa keluar rakyat dari Ukraine sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Sebelum ini, Wisma Putra mengesahkan memantau perkembangan semasa di Ukraine, terutamanya keselamatan 20 warga Malaysia yang berdaftar, termasuk dua pelajar, sembilan kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka bagi memastikan keselamatan serta memberikan bantuan konsular jika diperlukan.

Namun, kebanyakan negara lain termasuk negara-negara Asia seperti Jepun, India dan Singapura sudah menasihati rakyatnya keluar dari Ukraine kerana ancaman perang dengan Rusia.

Malah, ada kedutaan yang berpindah ke bandar Lviv yang lebih selamat, tetapi kedutaan Malaysia terus kekal di ibu negara Ukraine, Kyiv.

Dalam pada itu, Mohd. Hazmi yang terpilih buat kali keempat berturut-turut sebagai profesor pelawat bagi sekolah undang-undang Far Estern Federal University (FEFU), Vladivostok, Rusia, menjelaskan rakyat Malaysia perlu mengambil tahu dan peka perang di sana kerana melibatkan negara kuasa besar iaitu Rusia.

Jelasnya, negara kuasa besar lain juga turut bertindak dan campur tangan kerana Rusia merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB.

“Sudah pasti kuasa besar lain akan turut bersama kerana impaknya besar dan sekiranya berlaku peperangan sama ada proksi atau tidak, sedikit sebanyak memberikan impak kepada negara kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya