IDLIB: Dua bayi dilaporkan mati kesejukan selepas salji tebal dan suhu beku melanda beberapa kem pelarian di barat laut Syria.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu AFP, dua bayi perempuan itu masing-masing berusia tujuh hari dan dua bulan.
Dianggarkan 2.8 juta penduduk Syria berlindung di beberapa kem pelarian di wilayah ini susulan perang saudara yang berlaku sejak 11 tahun lalu.
Kebanyakannya hidup dalam keadaan daif tanpa keperluan asas yang mencukupi termasuk pakaian hangat dan alat pemanas.
Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia memaklumkan, dua bayi itu tinggal bersama keluarga mereka di kem al-Ziyara dan al-Sheikh Bahr di utara Idlib.
Kumpulan yang berpangkalan di United Kingdom itu menyatakan, seorang lagi bayi lelaku berusia sebulan turut terkorban akibat cuaca sejuk di kem di Jarablus yang berhampiran wilayah Aleppo pada 23 Januari lalu.
Pada 18 Januari lalu, seorang kanak-kanak juga maut di Qastal Moqdad selepas salji tebal runtuh atas khemah keluarganya.
Berdasarkan data PBB, sebanyak 287 kem pelarian di Idlib dan Aleppo terjejas akibat salji tebal, banjir dan angin kencang yang melanda pada 18, 19 dan 25 Januari lalu.
Salji tebal memusnahkan sekurang-kurangnya 935 khemah dan merosakkan lebih 9,500 khemah yang lain.










