JAKARTA: Indonesia kini memasuki gelombang ketiga jangkitan Covid-19 dengan menyaksikan semakin ramai petugas kesihatan termasuk doktor dijangkiti virus maut itu.
Pengurus Besar Ikatan Doktor Indonesia (IDI), M Adib Khumaidi berkata, data jumlah doktor yang dijangkiti Covid-19 giat dikumpulkan dari semasa ke semasa.
Pertubuhan itu turut menerima laporan semakin banyak doktor melakukan kuarantin kerana dijangkiti virus tersebut.
“Kami mula mengumpulkan data para doktor yang dijangkiti Covid-19 dengan beberapa kes direkodkan di Jakarta dan Tangerang.
“Namun, kami dimaklumkan kebanyakan doktor yang dijangkiti Covid-19 hanya mempunyai gejala ringan, malah ada yang langsung tidak menunjukkan gejala,” katanya.
Sehubungan itu, Adib menasihatkan semua petugas kesihatan menjaga disiplin dan menggunakan perlindungan lengkap ketika menguruskan pesakit Covid-19.
Katanya, vaksin Covid-19 bukan menjadikan individu kebal virus itu, malah masih boleh dijangkiti.
“Sudah vaksin tidak bermaksud kita tidak perlu lagi memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.
“Indonesia sudah masuk glombang ketiga dan perkhidmatan petugas perubatan amat diperlukan ketika ini. Jangan biar negara lumpuh,” tegasnya.