HONG KONG: Kerajaan Hong Kong mengarahkan ujian saringan wajib dilakukan ke atas kira-kira 7.5 juta penduduknya, ketika negara itu berusaha menangani lonjakan kes Covid-19.
Lapor BBC, Ketua Eksekutif, Carrie Lam berkata, penduduk perlu menjalani tiga pusingan ujian saringan bermula pertengahan Mac ini.
Katanya, sesi persekolahan juga akan ditamatkan lebih awal.
Wilayah separa autonomi itu sedang cuba mematuhi dasar ‘sifar Covid-19’ dilaksanakan China. Namun peningkatan kes Covid-19 akibat penularan varian Omicron memberi tekanan kepada hospital serta fasiliti saringan dan kuarantin di negara itu.
Ketika negara lain sedang belajar untuk ‘hidup’ dengan Covid-19, China pula menerusi pelaksanaan dasar itu cuba membendung jangkitan dengan melakukan ujian saringan awal, pengesanan kontak terperinci, kuarantin ketat dan sekatan perjalanan.
“Tempoh satu hingga tiga bulan akan datang adalah amat penting dalam memerangi pandemik ini.
“Wabak yang semakin teruk sudah jauh mengatasi kemampuan kerajaan Hong Kong untuk menanganinya,” kata Carrie dalam sidang akhbar.
Semua penduduk diwajibkan menjalani tiga kali ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada selang masa dalam tempoh seminggu.
Setakat ini, Carrie tidak mengumumkan tarikh ujian saringan itu akan bermula namun menyatakan kapasiti akan ditingkatkan kepada sejuta ujian dalam sehari.
“Kita mempunyai populasi kira-kira tujuh juta orang, jadi ujian saringan akan mengambil masa dalam tempoh seminggu,” katanya.
Penduduk juga dikehendaki untuk menjalani ujian pantas antigen setiap hari. – AGENSI











