KYIV: Bayi yang baru lahir di bandar Dnipro, timur Ukraine dibawa ke tempat perlindungan bom sementara di hospital mereka dilahirkan.
Lapor Daily Mail, kira-kira 12 bayi yang berada di unit neonatal dipindahkan segera ke ruang simpanan di bawah tanah hospital tersebut.
Jururawat dilihat ada yang sedang sibuk menjaga bayi dengan ada yang menggunakan beg udara kepada bayi yang mengalami kesukaran bernafas.
Ada juga bayi yang dibalut dengan selimut dan diletakkan di atas katil sementara.
Berdasarkan rakaman video tersebut, semua bayi berada dalam keadaan baik dan tidak menangis.
Ketua Unit Neonatal di Hospital Klinikal Kanak-kanak wilayah Dnipropetrovsk, Dr. Denis Surkov ternyata sedih dengan situasi yang menimpa hospital itu.
“Ini adalah NICU yang ditempatkan di ruang perlindungan bom. Boleh anda bayangkan? Kami gugup dan sangat keliru sekarang,” luahnya kepada New York Times.
Bayi-bayi tersebut di bawa ke tempat perlindungan bom sementara selepas bandar Ukraine terkena serpihan peluru berpandu ketika Rusia menyerang negara itu, awal pagi semalam.
Dnipro merupakan antara bandar yang dibedil oleh Rusia sejak perang bermula.









