BANJARMASIN: Seorang wanita yang sarat hamil lapan bulan terbunuh apabila dihempap konkrit dalam satu kejadian di Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Mangsa yang berusia 20 tahun dihempap konkrit itu selepas sebuah kenderaan secara tidak sengaja melanggar tembok penghadang di tempat meletak kereta.
Mangsa yang berada di bawah tempat letak kereta itu tidak sempat melarikan diri dan dihempap konkrit berkenaan.
Menurut polis, pemandu kenderaan itu memberitahu dia tidak sengaja tertekan minyak sehingga melanggar tembok penghadang ketika mahu memakir keretanya.
Mangsa yang bekerja sebagai penjual ayam, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan.