SHEIKH JARRAH: Ketika Mahmoud Salhiyeh dan keluarganya lena diulit mimpi, sejumlah anggota keselamatan Israel memecah masuk rumah mereka, kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan.
Pencerobohan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk merobohkan satu-satunya kediaman yang mereka pertahankan selama ini.
Mahmoud memberitahu, kehadiran pasukan keselamatan Zionis itu turut disertakan dengan beberapa jentera berat yang digunakan untuk merobohkan rumah mereka, selain enam ahli keluarganya turut ditahan.
Sekurang-kurangnya 18 lagi penduduk Palestin yang berada di rumah Mahmoud sebagai tanda solidariti juga ditahan.
Proses perobohan dilakukan kira-kira dua jam kemudian, iaitu pukul 5 pagi, ketika umat Islam bersedia untuk menunaikan solat Subuh.
Ketika ini, Mahmoud bersama keluarganya tidak lagi mempunyai rumah dan mereka tidak tahu di mana untuk berteduh dan berlindung memandangkan Palestin ketika ini dilanda musim sejuk.
UGUTAN TIDAK BERJAYA
Beberapa hari sebelum itu, keluarga Mahmoud cuba menghalang Zionis merobohkan rumah mereka dengan mengancam untuk meletupkan kediaman itu.
Keluarga Mahmoud membuat halangan dengan berdiri di atas bumbung rumah mereka dan menyatakan mereka lebih rela meletupkan rumah itu daripada dirobohkan Zionis.
“Saya akan letupkan rumah ini dan semua yang ada di dalamnya. Saya tidak akan tinggalkan rumah ini melainkan hanya ke kubur,” laung Mahmoud.
Lelaki warga emas itu memberitahu, dia sudah berjuang selama 25 tahun bagi menyelamatkan rumahnya, biarpun Zionis menawarkan harga yang menarik untuk membeli premis itu.
Katanya, rumahnya adalah lambang maruah dia berserta penduduk Palestin yang lain kerana Sheikh Jarrah adalah milik Palestin, bukan Israel.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan, rumah itu dirobohkan bagi membolehkan mereka membina sekolah pendidikan khas untuk penduduk di Sheikh Jarrah yang merujuk kepada penghuni haram Yahudi.
CEROBOH DENGAN KEGANASAN
Ketika rumah mereka diceroboh, pasukan keselamatan Israel mematikan bekalan elektrik dan melepaskan gas pemedih mata menyebabkan ahli keluarga Mahmoud bergegas bangun.
Seorang daripada ahli keluarganya, Yasmeen Salhiyeh, 19, memberitahu, kira-kira 50 anggota keselamatan Zionis pecah masuk ke rumah mereka dan mula memukul golongan lelaki di dalam kediaman tersebut.
“Zionis tarik ayah saya dari katil, memukulnya berserta abang dan sepupu saya sebelum menahan mereka.
“Pasukan keselamatan Israel turut melepaskan peluru getah terhadap kumpulan aktivis dan wartawan yang cuba masuk ke kawasan rumah kami ketika ia dirobohkan,” katanya.
Beberapa video yang dikongsi dalam media sosial turut menunjukkan sebuah ambulans dilarang masuk ke lokasi kejadian.
MENANGIS LIHAT RUMAH DIROBOHKAN
Mahmoud memaklumkan, dia dan keluarganya hanya mampu menangis melihat rumah mereka dirobohkan demi ‘memenuhi ketamakan Zionis’.
Beberapa jam selepas kerja meroboh selesai, pasukan keselamatan Israel berundur, namun keluarga Mahmoud tidak dimaklumkan bagaimana keadaan ahli keluarga mereka yang ditahan.
ROBOH SEBELUM KEPUTUSAN MAHKAMAH
Lebih menyedihkan, rumah Mahmoud dirobohkan sebelum mahkamah memutuskan langkah sewajarnya pada 23 Januari ini.
Keluarga Mahmoud berharap mahkamah dapat melengahkan masa sementara mereka terus berjuang menyelamatkan rumah, namun harapan mereka hancur berkecai selepas perobohan dilakukan juga secara paksa.
BALAS DENDAM
Seorang aktivis tempatan, Mohammad Abu al-Hommos menyifatkan perobohan itu sebagai ‘tindakan balas dendam’ oleh Zionis selepas keluarga Mahmoud mengugut untuk meletupkan rumah mereka.
Katanya, Israel cuma mahu membuktikan bahawa mereka boleh sahaja merobohkan rumah itu pada bila-bila masa tanpa rasa takut.
“Zionis mahu meruntuhkan semangat juang yang dimiliki keluarga Mahmoud, Zionis juga mahu ‘membunuh’ semua memori dan sejarah mereka.
“Ibu bapa Mahmoud pernah diusir Zionis pada 1948, dan kini, Mahmoud sekeluarga pula dihalau dari rumah sendiri,” ujarnya.
Setakat ini, hanya 13 peratus daripada kawasan di Baitulmuqaddis dibenarkan oleh Zionis untuk pembangunan penduduk Palestin, termasuk kediaman, manakala selebihnya dirampas Israel untuk kepentingan mereka.
Secara keseluruhannya, sebanyak 280 isi rumah Palestin di Baitulmuqaddis melibatkan 970 orang termasuk 424 kanak-kanak berisiko hilang tempat tinggal dalam tempoh terdekat. – AGENSI