KABUL: Seorang profesor universiti terkemuka di Afghanistan yang lantang mengkritik kepemimpinan Taliban, dilaporkan ditahan di Kabul.
Faizullah Jalal yang merupakan profesor undang-undang dan sains politik di Universiti Kabul sebelum ini pernah membuat penampilan dalam rancangan bual bicara dengan menyalahkan Taliban punca krisis kewangan semakin teruk dan mengkritik pentadbiran mereka.
Lapor Al Jazeera, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam satu ciapan di Twitter memaklumkan Faizullah ditahan oleh agensi perisikan Taliban pada Sabtu lalu berhubung komen dimuat naik di laman media sosial.
“Komen itu dilihat cubaan menghasut orang ramai menentang pentadbiran Taliban dan mempermainkan maruah rakyat.
“Jadi, beliau ditahan supaya orang lain tidak mengeluarkan komen tidak berasas atas kapasiti sebagai pensyarah yang boleh menjatuhkan maruah orang lain,” katanya.
Zabihullah berkongsi beberapa tangkap layar dakwaan ciapan dimuat naik oleh Faizullah yang antara lain mendakwa ketua perisikan Taliban menjadi kongkongan Pakistan.
Bagaimanapun, agensi berita tempatan, Aamaj News memaklumkan akaun dikenali @UstadJalal1 yang dirujuk oleh Zabihullah adalah palsu.
Sabtu lalu, Faizullah menerusi akaun rasmi di Twitter, @JalalFaizullah menafikan akaun terbabit adalah miliknya.
Sementara itu, isteri Faizullah iaitu Massouda menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan suaminya ditahan oleh pasukan Taliban dan dikurung di sebuah lokasi yang tidak diketahui. – AGENSI










