BOGOTA: Polis Colombia menumpaskan penyeludupan 20,000 biji kelapa yang diisi dengan cecair kokain, beberapa saat sebelum dihantar ke Eropah.
Lapor Daily Mail, rampasan itu dilakukan di bandar pelabuhan Cartagena di pantai Caribbean ketika muatan kelapa itu bersiap sedia untuk berlepas ke Genoa di Itali.
Sebuah unit antidadah di bawah pejabat pendakwa raya Colombia dengan kerjasama pasukan polis khas, dilaporkan memeriksa kelapa tersebut yang diletakkan dalam 504 beg kanvas.
Polis mendapati air kelapa itu dikeluarkan dan diisi dengan cecair lain.
Menurutnya, buah kelapa itu dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut bagi menentukan kuantiti tepat kokain yang terkandung dalam setiap buah.
Setakat ini, tiada penahanan dibuat berhubung rampasan tersebut.
Namun, pejabat pendakwa raya memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk menentukan asal usul penghantaran muatan kelapa itu dan mengenal pasti individu bertanggungjawab.
Pihak berkuasa Colombia bekerjasama dengan polis Itali di Genoa untuk mengenal pasti dalang di sebalik rangkaian jenayah yang menyeludup dadah ke Eropah. – AGENSI