TOKYO: Toyota menjalinkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Lepas Jepun (JAXA) untuk membangunkan sebuah kenderaan yang mampu meneroka permukaan bulan.
Ia merupakan sebahagian cita-cita pengeluar kereta Jepun itu, untuk membantu manusia hidup di bulan menjelang 2040 dan seterusnya planet Marikh.
Lapor Daily Mail, kenderaan yang dibangunkan bersama Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun itu, dikenali sebagai Lunar Cruiser.
Nama itu dipilih sempena memberi penghormatan kepada kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Land Cruiser.
Lunar Cruiser dijangka dilancarkan ke bulan pada akhir 2020an.
Pacuan enam roda yang kelihatan seperti kenderaan rekreasi (RV) mampu memuatkan dua individu sehingga tempoh 14 hari, sekali gus membolehkan mereka tinggal dan bekerja ketika mengembara ke bulan.
Ketua projek Lunar Cruiser, Takao Sato berkata, pembangunan kenderaan itu berdasarkan idea individu makan, bekerja, tidur dan berkomunikasi dengan individu lain secara selamat di dalam kereta.
Katanya, perkara yang sama boleh dilakukan di angkasa lepas.
“Kami melihat angkasa lepas sebagai ruang kawasan untuk transformasi sekali dalam seabad.
“Jadi, dengan mengembara ke angkasa lepas, kita mungkin dapat membangunkan telekomunikasi dan teknologi lain yang terbukti amat bernilai kepada kehidupan manusia,” katanya.
Sementara itu, syarikat Gitai Japan Inc dilaporkan membangunkan lengan robot untuk Lunar Cruiser.
Lengan robot itu direka khas untuk melakukan kerja-kerja seperti pemeriksaan dan penyelenggaraan.–AGENSI