RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan selang masa yang diwajibkan iaitu selama 10 hari bagi pengeluaran dua permit umrah dibenarkan untuk semua peringkat umur para jemaah, termasuk jemaah dari luar negara.
Lapor Saudi Gazette, jemaah luar boleh melakukan umrah maksimum sebanyak tiga kali sepanjang 30 hari berada di negara ini.
“Jemaah yang sudah mendapat permit dan ingin memohon permit kedua boleh membuat permohonan menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna.
“Permohonan itu boleh dibuat pada penghujung tempoh 10 hari yang ditetapkan selepas melakukan umrah pertama,” jelas kementerian itu dalam kenyataan.
Berdasarkan peraturan terdahulu, semua jemaah berusia 12 tahun ke atas, sama ada dari dalam dan luar negara yang sudah lengkap vaksnasi dibenarkan menunaikan umrah dan solat di Masjidilharam.
Namun, jemaah tidak boleh mengubah tarikh permit yang dimohon dan untuk melakukannya, mereka perlu membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.
Selang masa selama 10 hari itu dilakukan susulan pelaksanaan semula langkah peraturan Covid-19 berikutan lonjakan kes jangkitan.
Situasi diburukkan dengan penularan varian baharu iaitu Omicron.
Sebelum ini, pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan selang masa selama 15 hari untuk melakukan umrah kali kedua sebelum membatalkannya.










