BEIJING: China didakwa bersetuju membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) melawat Xinjiang pada separuh pertama 2022 selepas temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing berlangsung.
Beberapa kumpulan hak asasi sebelum ini mendakwa China menindas etnik Uighur yang majoritinya beragama Islam di wilayah Xinjiang dengan melakukan penahanan secara besar-besaran, penyeksaan dan buruh paksa.
Amerika Syarikat (AS) pula menuduh China melakukan ‘penghapusan etnik’ di wilayah autonomi itu.
Sehingga kini, Beijing menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan pendekatan yang diambil hanya untuk membanteras kegiatan keganasan di wilayah itu.
Pesuruhjaya UNHCR, Michelle Bachelet suda memulakan kempen rundingan dengan China mengenai lawatan ke Xinjiang sejak September 2018.
South China Morning Post melaporkan, satu sumber memaklumkan UNHCR dibenarkan melawat Xinjiang selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing yang dijangka berlangsung pada 4 hingga 20 Februari selesai.
Selain itu, kunjungan itu diberikan syarat hanya untuk ‘melawat’ dan bukannya untuk penyiasatan. – REUTERS