BUCHAREST: Seorang remaja yang pernah digelar sebagai `kanak-kanak lelaki paling kuat di dunia’ mengejutkan para peminatnya apabila berkongsi sekeping gambar penampilan baharu dirinya dalam media sosial.
Giuliano Stroe memuat naik gambar keadaan dirinya selepas 13 tahun memecahkan beberapa rekod dunia.
Lapor Daily Mail, Stroe dari Icoana di selatan Romania menjadi sensasi apabila memegang Rekod Dunia Guinness untuk berjalan menggunakan tapak tangan sejauh 10 meter paling pantas ketika berusia lima tahun.
Stroe menarik perhatian penonton secara langsung di televisyen di Itali dengan aksi tersebut menggunakan bola bebanan terikat di antara kakinya.
Ahli bina badan amatur itu kemudian memecahkan rekod dunia untuk melakukan tekan tubi paling banyak dengan kaki terapung di udara, 2010.
Kini, remaja berusia 17 tahun itu berkongsi gambar terbaharu memaparkan dia sedang memegang sekeping foto dirinya semasa kecil.
Dalam gambar tersebut, Stroe dilihat mengenakan pakaian yang longgar sambil menunjukkan foto dirinya semasa kecil yang bertubuh sasa dan memakai pingat.
Gambar dimuat naik dalam Facebook itu mendapat kira-kira 7,000 tanda suka daripada para peminat Stroe yang mengikuti prestasinya sejak kecil.
Malah, rata-rata warganet turut memuji pencapaian mengagumkan yang dikecapi Stroe. – AGENSI