Bom di Bali: Zulkarnaen dipenjara 15 tahun - Utusan Malaysia

Bom di Bali: Zulkarnaen dipenjara 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebuah mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun terhadap seorang anggota kanan kumpulan Daesh berhubung insiden pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Lapor Al Jazeera, Zulkarnaen yang merupakan bekas komander kumpulan Daesh yang dikaitkan dengan al-Qaeda, dibicarakan untuk kes pengeboman Bali dan beberapa serangan lain dilakukan kumpulan militan itu dibawah perintahnya.

“Dia didapati bersalah melakukan keganasan dan dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun,” kata Ketua Hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Timur.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulkarnaen kerana membantu militan, menyembunyikan maklumat mengenai serangan dan kaitannya dengan sel kumpulan Daesh.

Dilaporkan, lelaki berusia 58 tahun itu melarikan diri selama hampir dua dekad selepas dinamakan sebagai suspek pengeboman Bali.

Hakim, yang identitinya tidak didedahkan atas tujuan keselamatan, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun selepas pihak pendakwaan meminta Zulkarnaen dikenakan penjara seumur hidup.

Sementara itu, peguam Zulkarnaen iaitu Asludin Hatjani menyifatkan hukuman penjara yang dikenakan itu terlalu lama.

Katanya, dia akan berbincang dengan anak guamnya untuk memfailkan rayuan.

Polis dan pendakwa raya mendakwa Zulkarnaen memainkan peranan dalam penghasilan bom digunakan dalam serangan Bali dan pengeboman Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003 yang mengorbankan 12 orang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya