SINGAPURA: Seorang pemandu Grab pergi berjumpa dengan doktor selepas dia mempunyai gejala pernafasan akut, sebelum disuruh menjalani ujian calitan Covid-19 dan diarahkan berehat di rumah atas sebab cuti sakit.
Namun, lelaki itu enggan melakukan ujian tersebut, malah terus mengambil pelanggan, lapor Berita Mediacorp.
Kesalahan itu menyebabkan Rahim Mahon, 63, dihukum penjara selama lima minggu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana mendedahkan orang lain dengan risiko jangkitan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Rahim positif Covid-19 atau sebaliknya kerana dia tidak melakukan ujian saringan.
Menurut dokumen mahkamah, Rahim mengunjungi sebuah klinik pada 15 Januari lalu untuk melakukan pemeriksaan berikutan mengalami jangkitan saluran kencing.
Lelaki itu memaklumkan pada doktor bahawa dia juga mempunyai gejala batuk sejak dua hari lalu dan doktor mediagnosis Rahim dengan jangkitan saluran nafas dan demam ringan.
Doktor memaklumkan, gejala itu mungkin berpunca dari jangkitan saluran kencing yang dialaminya sebelum itu.
Lelaki itu kemudiannya diarahkan menjalani ujian Covid-19 dan diberi cuti sakit selama tiga hari serta tidak dibenarkan keluar dari rumah sehingga keputusan diperoleh.
Doktor turut meminta Rahim melakukan ujian air kencing, namun dia beredar dari klinik tersebut selepas melakukannya tanpa membuat ujian Covid-19.
Pihak klinik cuba menghubungi Rahim sebanyak beberapa kali namun tidak diendahkannya.
Pada keesokan hari, Rahim didakwa keluar dari rumah untuk mengambil lima penumpang Grab.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara lima hingga enam minggu dengan menegaskan perbuatan Rahim boleh mendedahkan orang dengan risiko jangkitan sekiranya dia positif Covid-19.
Bagi kesalahan itu, Rahim boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sebanyak S$10,000 (RM30,992) atau kedua-duanya sekali.