ROME: Empat orang maut dan lima lagi hilang selepas sebuah bangunan pangsapuri empat tingkat runtuh akibat letupan gas di pulau Sicily, Itali.
Menurut pihak berkuasa, dua wanita berjaya dikeluarkan daripada serpihan runtuhan bangunan di bandar selatan Ravanusa.
Pasukan penyelamat masih sedang mencari mangsa yang hilang dalam kejadian itu.
Unit tempatan perkhidmatan perlindungan awam Itali menerusi Twitter mengesahkan ketika ini empat orang meninggal dunia.
Beberapa gambar kejadian disiarkan di televisyen menunjukkan sejumlah besar serpihan runtuhan dan kayu di kawasan lapangan yang mana pangsapuri itu pernah didirikan, dengan sebuah lagi bangunan bersebelahan hangus dalam kejadian letupan.
Menurut pihak berkuasa, letupan itu berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas.
Katanya, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kes ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Ravanusa, Carmello D’Angelo memberitahu Rainews24, kira-kira 50 orang sudah dipindahkan ketika bangunan pangsapuri bersebelahan juga terjejas dalam letupan itu. – AFP