BANDAR SERI BEGAWAN: ‘Solat hajat, baca al-Quran, berselawat, berdoa dan berzikir’.
Demikian titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengingatkan umat Islam meningkatkan amalan dan memohon supaya Allah ‘mencabut’ dan membebaskan kehidupan kita ini daripada Covid-19.
Menurut laporan Pelita Brunei, dalam menghadapi ujian ini, baginda turut mengingatkan umat Islam dengan kisah Nabi Ayub yang sekian lamanya diuji oleh Allah SWT dengan penyakit luar biasa.
Penyakit itu, titah baginda, pada zahirnya dapat dianggap sebagai tidak ada harapan lagi untuk sembuh sehingga masyarakat dan keluarganya sendiri lari meninggalkan Nabi Ayub.
“Tetapi setelah Nabi Ayub mengadu dan berdoa kepada Allah, maka baginda dikurniakan kesembuhan malah mendapat ‘kelebihan’ setelah sembuh itu.
“Inilah antara ‘petunjuk’ mengenai kuasa Allah dan sekali gus kita boleh menjadikannya sebagai sandaran, mengapa kita mesti terus berusaha dan berdoa kepada Allah,” titah Sultan Hassanal dalam perutusan khas semalam.
Sultan Hassanal bertitah, sejak beberapa bulan lalu, kesan penularan tetap dirasakan dan sekatan-sekatan yang terpaksa dilalui semakin lama semakin berat untuk dihadapi.
“Misalnya kerana sekatan, kita sampai terputus hubungan dengan masjid, surau dan balai ibadat. Begitu juga kerana sekatan, sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian sampai menangguhkan operasi masing-masing.
“Produktiviti ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan awam juga tidak terkecuali turut terkesan oleh sekatan-sekatan yang dijalankan. Pendeknya, tidak ada yang terlepas daripada sama-sama menerima kesan. Sekatan-sekatan ini bukanlah dilakukan secara sewenang-wenang. Tetapi ia adalah merupakan langkah-langkah kritikal, selaras dengan keupayaan dan kesediaan negara,” titahnya.
Perlu difahami, tegas baginda, berdasarkan trend dan statistik negara dan global, wabak itu dilihat tidak akan hapus sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Namun, ini hanyalah ‘jangkaan’ jua, di mana setiap jangkaan itu tidaklah semestinya tepat. Yang betulnya, semua perkara adalah terpulang kepada Allah belaka. Jika Allah mahu, apa pun perkara, boleh sahaja berlaku,” titah baginda.