YANGON: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menghasut perbezaan pendapat terhadap tentera dan melanggar peraturan Covid-19.
Channel News Asia melaporkan, Suu Kyi dihukum penjara dua tahun di bawah Seksyen 505(b) dan dua tahun lagi di bawah undang-undang bencana alam.
Ini adalah keputusan pertama mahkamah dalam perbicaraan melibatkan pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.
Bekas Presiden, Win Myint juga dipenjarakan selamat empat tahun di bawah pertuduhan sama.
Suu Kyi yang berusia 76 tahun ditahan sejak jeneral tentera menggulingkan kerajaannya pada awal pagi 1 Februari lalu.
Junta sejak itu menambah banyak dakwaan lain, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya.