JAKARTA: Penduduk dari Pulai Kojadoi di wilayah Sikka memilih untuk tinggal di atas perahu sebagai `tempat perlindungan sementara’ selepas gempa bumi melanda Nusa Tenggara Timur baru-baru ini.
Lapor Kompas, sebuah bangunan yang sepatutnya menjadi tempat berkumpul di kawasan tersebut dilaporkan retak akibat gempa bumi berukuran 7.3 skala Ritcher melanda bahagian timur Indonesia.
Jabatan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi itu.
Susulan amaran tersebut, penduduk kampung itu segera membuat persiapan untuk tinggal di atas perahu termasuk membawa bekalan makanan serta kelengkapan.
Menurut ketua kampung, Hanawai, kebanyakan penduduk memilih tinggal di atas perahu kerana masih trauma dengan peristiwa tsunami yang melanda Pulau Flores pada 12 Disember 1992.
Selain itu, Hanawai berkata, ada juga penduduk yang tinggal di bukit Pulau Besar, kira-kira dua kilometer (km) dari Pulau Kojadoi.
Sementara itu, BBC Indonesia melaporkan, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memaklumkan bencana gempa bumi itu turut menjejaskan wilayah kepulauan Selayar di Sulawesi Selatan.
Jelas BNPB, sebanyak 346 rumah milik penduduk Selayar teruk terjejas akibat bencana tersebut.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 134 rumah mengalami kerosakan teruk dan 212 lagi yang ringan.
“Selain itu, tiga bangunan sekolah, dua tempat beribadat, sebuah rumah ketua kampung dan sebuah pelabuhan awam turut terjejas dalam kejadian itu,” jelasnya.