Tiket bas habis, pengguna VTL darat Singapura-Malaysia ‘gigit jari’ - Utusan Malaysia

Tiket bas habis, pengguna VTL darat Singapura-Malaysia ‘gigit jari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Pengembara yang ingin membeli tiket bas bagi Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksin (VTL) Darat yang ditawarkan oleh Transtar Travel Pte Ltd (Transtar) terpaksa ‘gigit jari’ apabila habis dijual.

Kesemua tiket yang ditawarkan untuk 30 hari akan datang habis dijual, kurang 30 minit selepas ia mula dijual.

Transtar merupakan antara dua syarikat bas yang menawarkan 64 perjalanan ulang-alik antara Singapura dan Johor bermula 29 November ini.

Media tempatan melaporkan, orang ramai yang ingin membeli tiket secara dalam talian memberitahu, mereka tidak dapat mengakses laman web Transtar sejak 8.15 pagi semalam.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila beberapa minit kemudian, laman web itu memaklumkan kesemua tiket yang ditawarkan bagi 30 hari akan datang sudah habis dijual.

VTL darat antara Singapura dan Malaysia yang akan bermula Isnin ini dapat menampung kira-kira 2,880 orang sehari dalam fasa pertama.

Buat masa ini, VTL darat menggunakan laluan tambak hanya dibuka kepada rakyat, penduduk tetap (PR) atau pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuk.

Jumlah itu merangkumi hingga 1,440 rakyat, PR atau pemegang pas jangka panjang Singapura yang dibenarkan masuk ke republik ini setiap hari serta 1,440 rakyat, PR atau pemegang pas jangka panjang Malaysia yang boleh masuk ke Malaysia.

Kapasiti kemasukan pula akan disemak setiap minggu bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19.

 

HANDAL INDAH

Dalam pada itu, sebuah lagi syarikat bas Singapura yang menyediakan VTL darat, Handal Indah (juga dikenali sebagai Causeway Link) terpaksa menggunakan sistem nombor giliran untuk membolehkan pengguna melayari laman webnya.

Hal ini kerana volum trafik laman web yang terlalu tinggi.

Tinjauan Channel News Asia mendapati, sehingga pukul 8.15 pagi semalam, lebih 12,000 pengguna menunggu giliran untuk mengakses laman web syarikat tersebut.

 

SYARAT VTL DARAT

Di bawah peraturan yang ditetapkan, pengembara yang memasuki Singapura perlu menunjukkan keputusan negatif dalam Ujian Rapid Antigen (ART) atau ujian Reverse Transcriptase-​Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam tempoh dua hari sebelum berangkat.

Pelawat yang memasuki Malaysia menerusi VTL darat turut perlu mengambil ART atau PCR dalam tempoh dua hari sebelum berangkat tetapi mereka perlu menjalani ujian juga apabila tiba di Terminal Bas Larkin Sentral.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai VTL (Darat) di laman https://www.safetravel.ica.gov.sg/ dan https://www.miti.gov.my. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya