JAKARTA: Anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) didakwa menyusup masuk ke dalam institusi agama dan sivik di seluruh Indonesia bagi menyebarkan ideologi mereka.
Polis Indonesia pada minggu lalu menahan tiga suspek disyaki cuba meraih dana untuk membiayai JI.
Antara yang ditahan termasuk Ahmad Zain An-Naja yang merupakan anggota Mjalis Ulama Indonesia (MUI).
Pengarah Pasukan Anti-Keganasan Polis Indonesia, Densus 88, Ahmad Nurwakhid berkata, penglibatan anggota JI dalam kalangan masyarakat Indonesia ‘sudah semakin sebati’.
“Tidak mustahil anggota JI juga menyusup ke dalam organisasi agama lain, termasuk sukan dan kelab basikal.
“Sejak 2010, pihak berkuasa sudah menahan 18 penjawat awam, lapan anggota polis dan lima tentera yang dikaitkan dengan JI. Mereka semua amat bagus dalam menyembunyikan identiti sebenar,” katanya.
JI bertanggungjawab dalam beberapa serangan keganasan yang meragut banyak nyawa, termasuk pengeboman di Bali pada 2002.
Kali terakhir kumpulan militan itu melancarkan serangan keganasan adalah pada 2007 dan sejak itu, JI hanya merekrut anggota, meraih dana dan menyebarkan ideologi mereka.