Panggung wayang di India digegarkan dengan filem Bollywood terbaharu - Utusan Malaysia

Panggung wayang di India digegarkan dengan filem Bollywood terbaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Filem aksi Bollywood, Sooryavanshi mula ditayangkan di semua panggung wayang di seluruh India semalam, selepas pandemik Covid-19 menjejaskan industri hiburan di negara ini.

Operasi panggung wayang di India terjejas sejak Mac tahun lalu susulan pandemik yang berlaku dan situasi sama berulang sekali lagi pada Aril lepas ekoran peningkatan kes mendadak.

Pendapatan industri hiburan dan media India dilaporkan berkurangan sehingga AS$18.7 bilion (RM78 bilion) pada tahun lalu, menurut firma perakaunan EY.

Namun, industri itu cuba bangkit semula dengan sejumlah filem baharu, dengan harapan dapat menarik perhatian masyarakat kembali ke panggung wayang untuk menyaksikan lakonan bintang kesayangan mereka.

Sooryavanshi yang dbintangi oleh aktor Akshay Kumar dan Ranveer Singh menjadi filem Bollywood pertama yang ditayangkan di panggung wayang dalam tempoh 18 bulan lalu.

Tayangan filem itu terpaksa ditangguhkan sejak pandemik Covid-19 terus mengganas di negara ini.

Ketua program rangkaian panggung wayang INOX, Rajender Singh Jyala berkata, filem tersebut menjadi titik tolak kepada industri hiburan bangkit semula selepas lama ‘menyepi’.

“Secara tradisi, filem baharu akan ditayangkan semasa perayaan Deepavali dan tahun ini, kita amat bertuah kerana diberi peluang merasai semula suasana seperti sebelum pandemik,” katanya.

Sementara itu, India dijangka menayangkan filem baharu setiap minggu bagi mengurangkan ‘lambakan tayangan’ akibat pandemik Covid-19. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN