NEW DELHI: Kerajaan India akan memansuhkan tiga undang-undang pertanian yang mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan golongan petani.
Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, pihak kerajaan tidak dapat meyakinkan kesatuan peladang yang membantah manfaat undang-undang yang diluluskan sejak September tahun lalu.
“Kami memutuskan untuk memansuhkan tiga undang-undang pertanian berkenaan,” katanya.
Kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) akan menyelesaikan proses Perlembagaan untuk menarik balik undang-undang itu semasa sidang Parlimen.
Beribu-ribu pertani berkhemah di pinggir Delhi bagi menuntut undang-undang yang didakwa akan menjejaskan pendapatan mereka itu dimansuhkan.
Mereka mengancam akan memperhebatkan lagi bantahan semasa sesi musim sejuk Parlimen yang akan bermula, 29 November ini.
Sebagai reaksi terhadap pengumuman itu, kumpulan petani menyifatkannya sebagai satu ‘kemenangan’ kepada kempen yang dilancarkan sejak setahun lalu.
Seorang pemimpin kesatuan dari Uttar Pradesh, Rakesh Tikait berkata, tunjuk perasaan itu bagaimanapun tidak akan dihentikan serta-merta, sekalipun Modi merayu tunjuk perasaan dibatalkan.-AFP