SINGAPURA: Semua 11 farmasi di hospital dan poliklinik kendalian SingHealth di merata Singapura kini kehabisan stok tudung.
Tudung tersebut direka khas buat kakitangan Muslim.
Berita Mediacorp melaporkan, ini kerana jururawat Muslim mula dibenarkan memakai tudung bersama uniform mereka hari ini.
SingHealth – terdiri daripada lapan poliklinik, lima pusat perubatan serta tujuh hospital masyarakat dan hospital awam termasuk Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) – merupakan satu-satunya kelompok jagaan kesihatan yang mengeluarkan tudung rekaannya sendiri.
Menurut SingHealth, tudung-tudung tersebut mula dijual pada 28 Oktober lalu.
Kesemuanya lebih 7,000 kakitangan jagaan kesihatan wanita Muslim dalam sektor perubatan awam kini dibenarkan memakai tudung jika mereka mahu.
Kelompok Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) – yang terdiri daripada Hospital Besar Ng Teng Fong, Hospital Alexandra, Hospital Masyarakat Jurong dan NUH – juga akan mengeluarkan tudung rekaannya tidak lama lagi.
Pihak NUHS belum lagi mendedahkan tarikh tudungnya akan mula dijual tetapi ia akan ditawarkan bermula bulan ini – dalam warna biru, hitam dan kelabu gelap.
Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG) pula, yang antara lain terdiri daripada Hospital Tan Tock Seng, membolehkan para kakitangannya memakai tudung sendiri asalkan ia memenuhi garis pandu yang ditetapkan.