LONDON: Sebuah glasier di Antartika dinamakan sempena nama bandar Glasgow sebagai tanda penganjuran Persidangan Perubahan Iklim COP26.
Lapor Daily Mail, Glasier Glasgow merupakan satu daripada sembilan kawasan ais di lembangan Getz di barat benua yang dinamakan sempena lokasi perjanjian, persidangan dan laporan iklim utama.
Bandar di Scotland itu kini menyambut kehadiran lebih 100 pemimpin dunia dan ribuan delegasi ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-26 yang berlangsung dari 1 hingga 12 November ini.
“Langkah menamakan glasier itu sempena nama bandar yang mana para pemimpin dunia berkumpul untuk memperjuangkan masa depan planet ini menunjukkan kami sudah mempunyai peringatan jelas mengenai apa yang diusahakan untuk dipelihara,” kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.
Permintaan untuk menamakan glasier sempena nama Glasgow dibuat oleh para saintis dari Universiti Leeds termasuk seorang penyelidik dikenali sebagai Heather Selley.
Pada awal tahun ini, Selley menerusi satu kajian mendedahkan sebanyak 315 bilion tan ais hilang dari rantau Getz sejak 25 tahun lalu.
Keadaan itu menyumbang kepada kenaikan purata paras air laut global sebanyak 0.09 sentimeter (cm).
Menurut Selley, glasier dinamakan mengikut susunan kronologi dengan Glasier Geneva yang terletak di barat wilayah kajian Getz menandakan sidang kemuncak perubahan iklim pertama pada tahun 1979 manakala Glasier Glasgow di bahagian timur pula COP26.
“Langkah menamakan glasier sempena lokasi ini dilihat sebagai cara yang bagus untuk meraikan kerjasama antarabangsa mengenai sains perubahan iklim dan dasar sepanjang 42 tahun lalu.
“Kami mahu menandakan usaha cemerlang komuniti saintifik ini yang telah mengukur impak perubahan iklim masa kini dan ramalan evolusi masa depan,” katanya. – AGENSI