JAKARTA: Syarikat penerbangan PT Garuda Indonesia (Persero) akan menutup sebanyak 97 laluan penerbangan, sekali gus menjadikan 140 laluan pada 2022 berbanding 237, 2019.
Lapor CNN Indonesia, wakil Kementerian Badan Usaha Milik Negara II (BUMN), Tiko berkata, pesawat Garuda akan mengecilkan jumlah laluan dan pesawatnya kerana memberi fokus kepada laluan super premium.
Jelasnya, sebahagian besar laluan antarabangsa akan ditutup seperti ke Amsterdam, London dan Korea Selatan kerana mengalami kekurangan penumpang.
Beliau malah memaklumkan, laluan domestik juga akan mengalami nasib sama.
“Kita menerima banyak aduan sejak sebulan lalu kerana pesawat Garuda semakin berkurangan di kawasan lapangan terbang.
“Pada masa depan, lebih banyak lapangan terbang akan mengurangkan bilangan pesawat Garuda kerana hanya memfokuskan kepada laluan yang memberi keuntungan,” katanya.
Menurut Tiko, pengurangan bilangan laluan disebabkan bilangan pesawat yang semakin sedikit dari 142 kepada 50 hingga 60 yang masih beroperasi.
Jelasnya, pengurangan itu juga memberi kesan kepada jenis kapal terbang syarikat dari 13 kepada tujuh jenis sahaja.