China beri amaran era Perang Dingin boleh berulang di Asia Pasifik - Utusan Malaysia

China beri amaran era Perang Dingin boleh berulang di Asia Pasifik

PRESIDEN China, Xi Jinping meminta semua negara di rantau Asia Pasifik harus bekerjasama dalam mengharungi cabaran bersama. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Presiden China, Xi Jinping memberi amaran kemungkinan ketegangan era Perang Dingin bakal berlaku sekali lagi di rantau Asia Pasifik.

Justeru, pemimpin tertinggi itu menggesa kerjasama yang lebih erat dalam usaha pemulihan pandemik Covid-19  dan perubahan iklim.

Di tengah-tengah ketegangan semakin meningkat dengan Amerika Syarikat (AS) dalam isu Taiwan, China dikatakan memeterai perjanjian mengejut dengan Washington berhubung isu perubahan iklim.

Jinping berkata, semua negara di rantau tersebut harus bekerjasama dalam mengharungi cabaran secara bersama.

“Cubaan untuk mewujudkan ideologi atau membentuk kumpulan kecil atas dasar geopolitik sudah pastinya akan gagal. 

“Rantau Asia Pasifik tidak boleh dan tidak seharusnya kembali semula ke dalam konfrontasi dan perpecahan seperti era Perang Dingin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan perniagaan secara maya sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Jinping turut menggesa usaha bersama dipertingkatkan untuk menutup ‘jurang imunisasi’ sekali gus menjadikan bekalan vaksin Covid-19 lebih mudah diakses oleh negara-negara membangun.

“Kita harus terjemahkan konsensus bahawa vaksin merupakan bekalan awam global bagi memastikan pengagihan secara adil dan saksama,” katanya.  

Menurut beliau, negara-negara berkenaan juga harus mempertingkatkan kerjasama dalam penyelidikan, pengeluaran, pengujian dan pengiktirafan bersama terhadap vaksin untuk keluar daripada belenggu pendemik serta mencapai pemulihan ekonomi stabil dengan secepat mungkin.    

Baru-baru ini, China memaklumkan pihaknya sudah mencapai persetujuan dengan AS di sidang kemuncak mengenai perubahan iklim yang berlangsung di Glasgow.

Ia merupakan antara aspek penting yang mana pentadbiran Presiden AS, Joe Biden melihatnya sebagai potensi kerjasama.  

Jinping tidak menyatakan perjanjian bersama AS itu secara langsung, namun berkata, semua pihak boleh memulakan usaha ke arah pembangunan lestari, rendah karbon dan hijau.   

 

PEMBANGUNAN HIJAU 

“Bersama-sama kita boleh menuju ke arah pembangunan hijau pada masa depan.

“China akan terus komited untuk mempromosi kerjasama menang-menang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi rantau Asia Pasifik,” katanya.

Kesepakatan dalam isu pemanasan global muncul menjelang rundingan secara maya antara Jinping dan Biden yang bakal diadakan seawal minggu depan.

Ia juga berlaku ketika ketegangan semakin meruncing di rantau Asia Pasifik.

Beijing meningkatkan aktiviti ketenteraan berhampiran Taiwan dengan sejumlah besar pesawat tentera China menceroboh Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) kepulauan itu pada awal bulan lalu.  

Rabu lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, AS akan memastikan Taiwan dapat mempertahankan negaranya untuk mengelakkan mana-mana pihak ‘mengganggu status quo dengan menggunakan kekerasan’. 

China menuntut hampir semua kawasan di Laut China Selatan yang menjadi laluan utama perdagangan kapal setiap tahun yang bernilai trilion dolar, sekali gus menolak tuntutan bertindih dari Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Di sebalik isu itu, AS, Britain dan Australia pada September lalu mengumumkan penubuhan pakatan baharu dinamakan AUKUS, yang mana Australia bakal memperoleh kapal selam berkuasa nuklear menggunakan teknologi AS.    

Pengumuman itu membangkitkan lagi kemarahan China dan secara berasingan mencetuskan perbalahan sengit dengan Perancis yang menyaksikan kontrak dirunding sebelum ini untuk menjual kapal selam konvensional Australia terbatal. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya