TRIPOLI: Anak lelaki kepada bekas pemimpin Libya digulingkan, Muammar Gaddafi mendaftarkan diri sebagai calon presiden bagi pilihan raya umum Disember ini.
Lapor Al-Jazeera, Saif al-Islam menghantar pencalonan ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Kebangsaan di selatan bandar Sebha.
Saif adalah seorang tokoh pemimpin paling berpengaruh yang dijangka mengambil alih pemerintahan sebagai presiden selain turut dicabar oleh komander timur pembelot, Khalifa Haftar, Perdana Menteri, Abdul Hamid Dbeibah dan speaker Parlimen, Aguila Saleh.
Rakaman gambar yang tersebar dalam media sosial menunjukkan Saif dengan imej berjambang dan memakai cermin mata serta pakaian tradisional berserban menandatangani dokumen di pusat pendaftaran di bandar itu.
Persidangan besar di Paris Jumaat lalu, bersetuju menyekat mereka yang mengganggu atau menghalang proses pengundian.
Namun, sehingga kini belum ada sebarang persetujuan mengenai peraturan untuk menetukan siapa yang sepatutnya boleh bertanding dalam pilihan raya.