JAKARTA: Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta, akhirnya mendapat sijil kelahiran.
Kompas melaporkan, kanak-kanak yang dilahirkan pada 6 Januari 2019 itu tular dalam media sosial kerana namanya terdiri daripada 19 perkataan.
Anak kedua pasangan Arif Akbar, 29, dan Suci Nur Aisiyah, 26, dari Desa Ngujuran, Tuban itu sebelum ini berdepan masalah untuk mendapatkan sijil kelahiran.
Ini kerana dalam aturan Sistem Informasi Administrasi Kependudukan (SIAK), hanya ada 50 kolum untuk penulisan nama.
Arif sebelum ini pernah menulis surat kepada Presiden Joko Widodo bagi membolehkan nama anaknya didaftarkan.
Setelah tidak mendapat kebenaran, akhirnya pihak keluarga terpaksa akur menggantikan nama si anak.
Daripada awalnya memiliki 19 perkataan, ketika ini kanak-kanak itu didaftarkan dengan nama R-Akbar Zudan Cordosega Sura Talenta.
Sahid, bapa saudara kepada kanak-kanak itu, berkata, pihak keluarga bersetuju untuk menukar nama kanak-kanak yang dipanggil Cordo itu selepas berunding dengan Ketua Pengarah Kependudukan dan Pencatatan Awam Kementerian Dalam Negeri, Zudan Arif Fakrulloh.










