Souad digelar ‘isteri Osama bin Laden’, diancam Islamophobia - Utusan Malaysia

Souad digelar ‘isteri Osama bin Laden’, diancam Islamophobia

SOUAD Mohammed memegang niqab yang sering dipakainya biarpun mendapat kejian malah cacian masyarakat. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang wanita Muslim melahirkan kebimbangan apabila berdepan pelbagai ancaman di tempat paling teruk dilanda Islamophobia di Uni­ted Kingdom (UK).

Souad Mohammed, 47, tinggal di Westminster yang merupakan bandar paling tinggi merekodkan jenayah kebencian Islamophobia.

Ibu tiga anak itu kerap dihina dan dicaci dengan gelaran ‘pengantin Daesh’ dan ‘isteri Osama bin Laden’ hanya kerana dia memakai purdah ketika berada di khalayak ramai.

Dia pernah me­ngalami peristiwa paling dahsyat apabila sekumpulan lelaki cuba membakar purdah yang dipakainya di dalam bas di Harrow Road.

“Saya de­ngar mereka memetik pemetik api sehingga purdah terbakar sedikit.

“Saya berpaling ke belakang dan bertanyakan apa yang mereka sedang lakukan. Mereka terkejut melihat saya bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Saya berasa sangat tidak selamat tinggal di kawasan ini kerana sering berasa cemas apabila keluar rumah,” kata­nya seperti dilaporkan Mirror.

Souad mula memakai niqab sejak zaman remaja, 1980-an dan dia merupakan individu pertama dalam keluarga yang memakainya.

Katanya, dia berasa selesa dengan pemakaian itu kerana kurang terdedah kepada ancaman serangan seksual.

Namun begitu, wanita itu berasa seolah-olah ‘dipinggirkan masyarakat’ hanya kerana disebabkan pemakaiannya.

Malah, dia masih meng­ingati peristiwa ketika seorang penumpang bas menuduhnya sebagai pengebom berani mati di Bayswater, Westminster.

“Ketika itu, seorang penumpang wanita berkata kepada pemandu bas supaya memberhentikan segera ken­deraan itu kerana mendakwa saya akan meletupkan bas ini.

“Disebabkan itu, saya terpaksa keluar dari bas tersebut,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN