MANILA: Presiden Rodrigo Duterte berkata, anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio yang juga Datuk Bandar Davao akan bertanding merebut jawatan Presiden dalam Pilihan Raya 2022.
The Manila Times melaporkan, Sara akan bergandingan dengan Senator Christopher Lawrence Go bagi berdepan calon popular, Senator Emmanuel Manny Pacquiao dan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Filipina, Jose Lito Atienza.
Duterte berkata demikian selepas Go mengemukakan sijil pencalonan (CoC) bagi menggantikannya untuk calon Naib Presiden mewakili Partido Demokratiko Pilipino-Lakas ng Bayan (PDP-Laban) yang dipimpin Setiausaha Tenaga, Alfonso Cusi.
“Ia adalah Sara-Go (gandingan calon Presiden dan Naib Presiden Filipina),” katanya ketika bertemu dengan penyokongnya selepas mengumumkan persaraan daripada dunia politik.
Duterte mengesahkan anak perempuannya akan bertanding sebagai Presiden tetapi tidak menyebut bila Sara akan menyerahkan CoC kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec).
Terdahulu Sara telah menyerahkan CoC kepada Comelec untuk bertanding semula jawatan Datuk Bandar Davao.
Dalam pada itu, Naib Presiden Filipina, Leni Robredo akan membuat keputusan dalam minggu ini mengenai kedudukannya bertanding untuk jawatan Presiden.
Leni sebelum ini lantang mengkritik usaha Duterte memerangi penyalahgunaan dadah yang cukup kontroversi.
Tinjauan menunjukkan, Sara Duterte; anak lelaki kepada diktator Ferdinand Marcos, Ferdinand Marcos Jr.; petinju legenda Filipina, Manny Pacquiao dan Francisco Domagoso dilihat sebagai calon pilihan Presiden.










