LONDON: Golongan peladang mengeluh ladang babi milik mereka berdepan masalah besar melainkan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bertindak segera.
Portal Mirror meluangkan masa selama sehari bersama Sophie Hope, 36, yang mengusahakan ladang babi sendiri di Gloucestershire.
Wanita itu memberi amaran individu sepertinya berada pada tahap ‘kritikal’.
Katanya, pemilik ladang terpaksa membakar ribuan haiwan itu melainkan pihak kerajaan melonggarkan kebenaran visa kepada pekerja asing.
“Sekarang adalah ribut dahsyat akibat Brexit dan Covid-19.
“Tiada sesiapa mahu memusnahkan babi milik mereka, tetapi saya tahu seorang peladang terpaksa memusnahkan 1,000 anak babi minggu ini, sementara peladang lain terpaksa menutup ladang babi selepas 50 tahun beroperasi,” luahnya.
Dilaporkan peladang berdepan kemungkinan memusnahkan lebih 100,000 babi minggu ini disebabkan kekurangan tukang sembelih.
Situasi itu berpunca akibat pihak kerajaan menghalang kemasukan pekerja mahir dari negara luar sehingga menjejaskan operasi ladang di seluruh negara.
Golongan peladang menuntut pihak kerajaan memasukkan penyembelih haiwan dalam senarai pekerjaan kekurangan tenaga kerja mahir supaya pekerja di Kesatuan Eropah dapat menyelamatkan produk daging babi.