Remaja 14 tahun antara lebih 100 ditahan terlibat pinjaman tanpa lesen - Utusan Malaysia

Remaja 14 tahun antara lebih 100 ditahan terlibat pinjaman tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Hampir 170 orang, berusia antara 14 dengan 72 tahun, disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemiutang haram.

Berita Mediacorp melaporkan, seramai 168 suspek ditangkap dalam serbuan di seluruh negara semasa satu operasi ke atas kegiatan pinjaman tanpa lesen dari 20 September hingga 1 Oktober, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan akhbar hari ini.

Siasatan awal menunjukkan, 14 suspek dipercayai melakukan gangguan di kediaman penghutang manakala 34 suspek lain dipercayai menjadi orang suruhan bagi perniagaan pemiutang haram dengan melakukan pemindahan ATM, jelas polis.

Seorang suspek dikatakan memberikan maklumat hubungan palsu kepada pemiutang tidak berlesen, yang mengakibatkan gangguan dilakukan terhadap kediaman mangsa yang tidak bersalah.

Baki 119 suspek dipercayai membuka akaun bank dan memberikan kad ATM, PIN dan/atau token perbankan internet mereka kepada pemiutang haram untuk memudahkan urus niaga mereka.

Siasatan sedang dijalankan.

Seseorang akan dianggap membantu perniagaan pemiutang haram jika akaun bank, kad ATM atau token perbankan internet mereka digunakan untuk memudahkan pinjaman wang oleh pemiutang haram.

Pesalah kali pertama yang sabit kesalahan membantu kegiatan pemiutang haram boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda antara S$30,000 dengan S$300,000 dan dikenakan sebatan rotan sehingga enam kali.

Mereka yang bersalah mengganggu atau cuba mengganggu bagi pihak pemiutang haram boleh dihukum penjara hingga lima tahun, didenda antara S$5,000 dengan S$50,000 dan dikenakan sebatan rotan antara tiga dengan enam kali.

Sesiapa yang bersalah memberikan maklumat hubungan palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada pemberi pemiutang haram akan dipenjara hingga 12 bulan.

Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan pinjaman wang haram, termasuk individu yang memberi akaun bank mereka untuk membantu kegiatan pinjaman tanpa lesen.

SPF turut memberi amaran pemiutang haram semakin kerap menggunakan kiriman mesej atau secara dalam talian untuk menghantar iklan pinjaman yang tidak diminta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN