Polis Aceh terbit buku fiqah lalu lintas, panduan memandu menurut hukum Islam - Utusan Malaysia

Polis Aceh terbit buku fiqah lalu lintas, panduan memandu menurut hukum Islam

POLIS mengawal lalu lintas di Lhokseumawe, Aceh. - ANTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jabatan Trafik Polis Aceh menerbitkan buku fiqah lalu lintas yang menjadi panduan untuk memandu di jalan raya berdasarkan hukum Islam.

CNN Indonesia melaporkan, Pengarah Jabatan Trafik, Dicky Sondani berkata, penerbitan buku itu dilakukan kerana dipicu oleh banyaknya pelanggaran dan kemalangan lalu lintas di wilayah Serambi Mekah itu.

“Kami membuat buku perundangan lalu lintas ini kerana keadaan pelanggaran lalu lintas dan kemalangan di Aceh cukup tinggi. Buku ini disusun agar orang ramai menggunakan jalan raya menurut hukum Islam,” katanya di Banda Aceh semalam, seperti dipetik Antara.

Menurut beliau, melalui buku itu orang ramai diharap mematuhi undang-undang Islam dalam menggunakan jalan raya sehingga dapat mengurangkan jumlah pelanggaran undang-undang dan kemalangan.

Jelasnya, peraturan lalu lintas pada dasarnya diatur dalam al-Quran dan hadis.

Buku fiqah itu katanya, meneroka dengan lebih mendalam peraturan lalu lintas yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis.

“Memang al-Quran tidak menyebut penggunaan topi keledar tetapi menyebut menjaga keselamatan,” katanya.

Tambahnya, buku itu disusun hasil kerjasama beberapa pihak termasuk Universiti Islam Negeri Ar Raniry, ahli agama dan Majlis Permusyawaratan Ulama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN