PERTH: Seorang lelaki bukan sahaja menggunakan identiti palsu semasa melakukan penerbangan, bahkan melakukan kesalahan besar apabila merokok di dalam tandas pesawat.
Lapor Perth Now, Beau Ryan Griffin, 26, asalnya ditahan di Lapangan Terbang Adelaide kerana merokok di dalam pesawat.
Selepas disiasat, lelaki itu turut dikenal pasti menggunakan identiti palsu untuk menempah tiket penerbangan.
Pegawai Polis Persekutuan Australia berkata, semasa pemeriksaan dilakukan lelaki itu tidak mempunyai sebarang kad pengenalan dan menggunakan tiket elektronik atas nama seorang lelaki Perth berusia 20 tahun.
Selepas penyiasatan lanjut dijalankan, Griffin didakwa menggunakan nama kenalannya.
Dia didakwa menggunakan identiti palsu semasa melakukan penerbangan, merokok dalam pesawat dan memberikan maklumat salah kepada pihak berkuasa.