BAITULMUQADDIS: Kekecewaan, kesedihan dan kemarahan menyelubungi puluhan penduduk Palestin tanpa dokumen pengenalan diri yang bergegas ke Kementerian Hal Ehwal Awam di Ramallah, minggu lalu.
Mereka mengunjungi bangunan kementerian itu selepas mendapat tahu Israel meluluskan permohonan untuk memberikan status undang-undang tersebut.
Penduduk Palestin menyemak nama mereka, namun tiada dalam senarai dikeluarkan oleh kementerian tersebut.
Seorang wanita yang menunggu sejak sekian lama untuk memperoleh status undang-undang itu menyifatkan kejadian tersebut sebagai ‘hari hitam’ buat dirinya.
Manana Bahr merupakan antara individu yang nama mereka tiada dalam senarai dikeluarkan kementerian berkenaan.
“Kegembiraan kami musnah sekelip mata, malah ada yang rebah sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Ada juga yang membawa gula-gula bertindak membuangnya selepas mendapati nama mereka tiada dalam senarai,” katanya kepada Al Jazeera.
Bahr merupakan antara aktivis pergerakan Family Reunification is My Right.
Bahr, seorang warga Maghribi yang berkahwin dengan penduduk Palestin, datang ke wilayah itu dengan menggunakan visa sementara, 15 tahun lalu.
Sepanjang tempoh berkenaan, Bahr tidak dapat meninggalkan bandar Ramallah kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.
“Saya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sejak 2007, jadi saya tidak boleh bekerja, melancong atau membuka akaun bank,” katanya.
Baru-baru ini, Israel mengumumkan akan meluluskan 4,000 permohonan ‘penyatuan semula keluarga’.
Sebanyak 442 permohonan juga dilaporkan sudah diluluskan sejak beberapa minggu lalu.
Keputusan itu memberi kesan kepada penduduk Palestin yang berkahwin dengan warga asing tanpa dokumen dan tinggal bersama di Palestin.
Ia juga menjejaskan warga Palestin yang mempunyai ahli keluarga terdekat tanpa dokumen.
Israel mengawal pendaftaran penduduk Palestin sejak 1967.
Israel juga memiliki kuasa penuh untuk mengeluarkan kad pengenalan dan pasport kepada warga Palestin selain membuat keputusan individu yang boleh keluar masuk wilayah itu.
Israel berhenti memproses permohonan penyatuan semula keluarga Palestin sejak 12 tahun lalu, sehingga mengakibatkan ribuan warga Palestin tanpa dokumen pengenalan diri dan tidak dapat melakukan perjalanan mahupun mendapat akses kesihatan, pekerjaan, pendidikan serta sistem perundangan.
Ramai penduduk Palestin tanpa dokumen pengenalan diri enggan melakukan perjalanan dari bandar ke bandar, berikutan takut ditahan di pusat pemeriksaan tentera.
Dasar Israel yang dilaksanakan terhadap Palestin menyebabkan puluhan ribu warga tertindas tanpa dokumen pengenalan diri di tanah air mereka dan memecah belahkan banyak keluarga.
AS BANTAH PEMBINAAN PENEMPATAN BAHARU ISRAEL
Sementara itu, Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyuarakan bantahan terhadap rancangan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Menurut pentadbiran tersebut, tindakan Israel itu secara jelas merosakkan prospek penyelesaian dua negara.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price menolak desakan Israel untuk membina lebih banyak penempatan Yahudi di Tebing Barat.
“Kami berasa amat bimbang mengenai rancangan Israel untuk menambahkan unit-unit penempatan Yahudi di Tebing Barat.
“Malah, kami juga bimbang tentang tender pembinaan penempatan haram yang disiarkan pada Ahad untuk lebih 1,300 unit kediaman.
“Kami menentang kuat perluasan penempatan itu yang tidak konsisten dengan usaha mengurangkan ketegangan dan memastikan keamanan,” katanya