JAKARTA: Indonesia melakukan ujian penerbangan pesawat yang pertama kali menggunakan bahan bakar jet yang dicampur minyak sawit.
Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, ini sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan mengkomersialkan sawit dalam usaha kreatifnya memperluaskan kegunaan minyak masak tersebut.
Reuters melaporkan, pesawat yang terlibat dalam ujian itu terbang sejauh lebih 100 kilometer, dari Jakarta ke Bandung.
“Indonesia, sebagai pengeluar terbesar, sudah tentu perlu melakukan inovasi terhadap penggunaan minyak sawit. Ini termasuk pembangunan biodiesel dan bahan bakar pesawat,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, merujuk kepada diesel yang dibuat sepenuhnya daripada minyak sawit yang dibangunkan syarikat minyak negara, Pertamina.
Indonesia menerapkan program biodiesel dengan kandungan minyak sawit sebanyak 30 peratus, dikenali sebagai B30.
Kerajaan memperluaskan penggunaan minyak sayuran bagi mengurangkan import bahan bakar.
Bahan bakar jet yang digunakan dalam ujian penerbangan itu mengandungi 2.4 peratus minyak sawit.
Kementerian Tenaga memberitahu, pasaran minyak bio jet mampu menjana 1.1 trilion rupiah setahun.