MANILA: Proses pembinaan semula Marawi dijangka akan diselesaikan sehingga Jun tahun depan, ketika penggal terakhir pentadbiran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Bandar itu diserang oleh militan pro-Daesh empat tahun lalu sehingga menyaksikan pertempuan hebat dengan tentera Filipina.
Bandar tepi tasik di kepulauan Mindanao itu dikepung sejak 23 Mei 2017 selama lima bulan sehingga menyebabkan lebih 1,100 orang terbunuh.
Pertempuran itu dianggap paling mencabar dan panjang bagi pihak tentera sejak Perang Dunia Kedua berakhir.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memaklumkan penduduk Marawi menderita sepanjang pergolakan itu sehingga memaksa lebih 100,000 penduduk meninggalkan rumah mereka.
Bandar itu didiami oleh majoriti penduduk Islam.
Ketua Tugas Khas Bangon Marawi, Mejar Jeneral Eduardo Del Rosario berkata, pihaknya bekerjasama dengan 56 agensi bagi melengkapkan semua projek infrastruktur termasuk pelan pembangunan utama sehingga tempoh pentadbiran Duterte berakhir.
“Pembinaan dan pembaikan infrastruktur awam di bandar itu sudah mencecah 75 ke 80 peratus,” katanya kepada Arab News.
Menurut Del Rosario, Duterte turut berjanji akan membaik pulih Masjid Besar Marawi yang sangat signifikan dengan sejarah Marano sekali gus menggambarkan komitmen penuh presiden terhadap usaha pembaikan Marawi secara keseluruhannya.