Covid-19: Kebebasan bersuara dicabul - Utusan Malaysia

Covid-19: Kebebasan bersuara dicabul

SEORANG wanita memegang sepanduk mengenai kebebasan bersuara dan menjerit menggunakan pembesar suara semasa protes menentang kewajipan pemakaian pelitup muka di Place de La Nation di Paris.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ketika dunia berusaha mencapai sasaran imuniti kelompok dengan pertambahan jumlah vaksinasi bagi mengekang penularan wabak Covid-19, sesetengah negara didakwa cuba mencabul hak kebebasan rakyat mereka.

Malah, penyebaran berita palsu juga turut memberikan ‘kesan buruk’ kepada orang ramai mendapatkan maklumat tepat bagi membantu mereka berdepan krisis kesihatan yang meragut nyawa jutaan manusia di dunia.

Amnesty International mengeluarkan laporan mengenai ‘Silenced and Misinformed: Freedom of Expression in Danger during Covid-19’, Selasa lalu, dengan mendedahkan bagaimana pihak berkuasa menggunakan sekatan dan hukuman bagi mengurangkan kualiti maklumat kepada orang awam.

Laporan tersebut mendakwa pandemik yang menimbulkan ‘situasi berbahaya’ menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menggunakan undang-undang baharu menutup laporan media bebas yang membuat laporan, mengkritik atau sesiapa sahaja yang cuba menilai usaha kerajaan menangani krisis Covid-19.

Pengarah Kanan bagi Polisi Penyelidikan dan Advokasi Amnesty International, Rajat Khosla berkata, pihak pemerintah melancarkan serangan yang belum pernah terjadi terhadap kebebasan bersuara sehingga menyekat hak orang ramai.

“Saluran komunikasi menjadi sasaran, media sosial ditapis dan syarikat media ditutup sekali gus memberikan kesan kepada orang ramai mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai virus itu.

“Semasa kemuncak pandemik, wartawan dan profesional kesihatan dikunci mulut mereka dan dipenjarakan.

“Kesannya menyebabkan maklumat Covid-19 tidak dapat diakses sehingga menyebabkan lima juta penduduk dunia maut,” jelasnya lapor Al-Jazeera.

WARTAWAN DIPENJARA

Di China, semasa permulaan pandemik Disember 2019, petugas kesihatan termasuk wartawan berusaha memberikan mesej peringatan kepada orang ramai.

Namun, kerajaan China mengarahkan syarikat media melaporkan penemuan virus itu sebagai penyakit yang tidak dikenal pasti ketika itu.

Sehingga Februari tahun lalu, sebanyak 5,511 kes siasatan jenayah difailkan terhadap individu yang sengaja menyiarkan maklumat ‘palsu dan berbahaya’.

Dalam satu kes yang dilaporkan, seorang wartawan, Zhang Zhan yang mengunjungi Wuhan, Februari tahun lalu, bagi melaporkan penemuan wabak berbahaya itu didapati hilang pada bulan Mei.

Namun, selepas itu terbongkar wanita itu ditahan oleh pihak polis kerana didakwa ‘menimbulkan perbalahan dan mencetuskan masalah’ sehingga dipenjarakan selama empat tahun.

Negara lain seperti Tanzania, Rusia dan Nicaragua melaksanakan ‘undang-undang yang menindas, menyekat hak kebebasan bersuara dan menutup mulut pengkritik atas alasan pandemik’.

MEDIA SOSIAL MENGELIRUKAN

Syarikat media sosial turut memainkan peranan menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19.

Hal ini kerana platform tersebut bertujuan mencipta kandungan yang mampu menarik perhatian dan belum cukup berusaha menghentikan penyebaran maklumat palsu.

“Serangan maklumat palsu melalui syarikat media sosial sehingga menimbulkan perpecahan dan kekeliruan menimbulkan ancaman serius terhadap hak kebebasan bersuara dan kesihatan.

“Perkara itu menimbulkan kesukaran bagi individu mengeluarkan pendapat tepat serta membuat pilihan mengenai kesihatan mereka berdasarkan fakta saintifik terbaik. Sedangkan, kepelbagaian sumber adalah kunci untuk mencabar dan membahaskan maklumat sedia ada,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya