BEIJING: China secara rahsia menguji peluru berpandu hipersonik yang mempunyai kemampuan untuk mengelilingi Bumi sebelum kembali semula ke ruang udara untuk mencapai sasarannya.
Teknologi terbaharu itu menjadikan peluru berpandu yang dihasilkan China sukar untuk dikesan sistem amaran pihak lawan.
Lapor Daily Mail, usaha itu dilihat sebagai perkembangan teknologi yang bakal mengatasi sistem peluru berpandu anti-balistik yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan laporan Financial Times yang memetik lima sumber perisikan, tentera China melancarkan roket Long March yang membawa ‘kenderaan peluncur hipersonik’ ke orbit rendah Bumi pada Ogos lalu.
Roket itu mengelilingi orbit Bumi sebelum menuju ke sasarannya, yang mana misi itu tersasar sejauh 32 kilometer (km).
Dilaporkan, peluru berpandu hipersonik itu mampu mencapai kelajuan hingga 33,796 kilometer sejam (kmh).
Malah, ia boleh dilancarkan di mana sahaja di Bumi dari angkasa lepas dalam masa beberapa minit sahaja.
Sistem itu juga mampu mengatasi sistem pertahanan peluru berpandu anti-balistik AS yang berpusat di Alaska dan disiapkan untuk menjatuhkan peluru berpandu yang melintasi Kutub Utara.
Menurut sumber, perkembangan China membabitkan pembangunan senjata hipersonik mengejutkan pihak risikan AS.
“Kami tidak tahu bagaimana mereka melakukan ini,” kata seorang individu yang biasa dengan ujian pelancaran itu.
Selain China, negara seperti AS, Rusia dan sekurang-kurangnya lima negara lain turut membangunkan teknologi hipersonik.
Bulan lalu, Korea Utara menyatakan negaranya menguji peluru berpandu hipersonik baharu yang dibangunkannya. – AGENSI