JAKARTA: Kementerian Dalam Negeri Indonesia menyarankan seorang bapa kepada anak lelaki yang memiliki nama terpanjang iaitu 19 perkataan, untuk mengubah nama.
Saranan itu dibuat kepada Arif Akbar bagi memudahkan proses pentadbiran penduduk.
Lapor CNN Indonesia, Ketua Pengarah Penduduk dan Pendaftaran Sivil, Zudan Arif Fakrulloh berkata, hal demikian kerana nama dalam dokumen populasi negara hanya mempunyai had maksimum 55 huruf.
“Dengan menggunakan nama panjang, akan wujudnya masalah teknikal kerana ruangan di bahagian KK, KIA, surat kelahiran, diploma, pasport dan sebagainya tidak muat.
“Justeru, kami sarankan penduduk itu untuk singkatkan nama anaknya atau mengubah kepada lebih pendek,” katanya dalam satu kenyataan.
Zudan memahami tindakan menamakan anak merupakan hak ibu bapa.
Namun, beliau mengingatkan terdapat peruntukan untuk merekodkan data penduduk.
“Jadi, kita tidak dapat memenuhi semua permintaan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Arif menghantar surat kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk meminta bantuan mempercepatkan proses mendapatkan surat kelahiran anak lelakinya yang kini sudah berusia dua tahun.
Arif memberitahu anaknya belum mendapat surat kelahiran kerana mempunyai nama yang panjang.
Anaknya, Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta dilahirkan pada 2019.
Jabatan Kependudukan dan Catatan Sivil Tuban sebelum ini menyarankan Arif mengubah nama anak lelakinya.
Namun, dia menolak kerana nama anaknya berisi doa dan harapan. – AGENSI