WASHINGTON: Setelah sekian lama ‘mengabdikan diri’ memainkan watak Kapten Kirk dalam siri filem sains fiksyen penerokaan angkasa lepas, Star Trek, William Shatner bakal dibawa ke alam sebenar angkasa lepas tidak lama lagi.
Lapor BBC, syarikat Blue Origin milik hartawan dan Pengasas Amazon, Jeff Bezos, mengesahkan Shatner akan berlepas ke angkasa lepas dari Texas pada 12 Oktober ini.
Berusia 90 tahun, Shatner akan menjadi individu paling tua yang dibawa mengembara angkasa lepas.
“Sudah lama saya mendengar mengenai angkasa lepas.
“Kini saya berpeluang untuk melihatnya sendiri. Sungguh menakjubkan,” kata Shatner dalam satu kenyataan.
Shatner bakal menyertai tiga lagi individu menaiki roket New Shepard bagi penerbangan kedua syarikat itu ke angkasa lepas.
Sebelum ini, Bezos bersama adiknya, Mark selain pakar penerbangan berusia 82 tahun, Wally Funk dan seorang pelajar berusia 18 tahun menyertai penerbangan pertama ke angkasa lepas, Julai lalu.
Perjalanan kedua dijangka mengambil masa sekitar 10 minit dan akan membawa kru melepasi garisan Karman iaitu sempadan diiktiraf antarabangsa sebagai tanda permulaan ruang angkasa lepas yang terletak 100 kilometer di atas permukaan bumi.
Blue Origin memaklumkan, Naib Presiden Misi dan Operasi Penerbangan syarikat itu, Audrey Powers dan bekas jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (AS) akan turut sama dalam misi tersebut.
Pada 2013, Shatner menolak tawaran hartawan Richard Branson untuk mengembara ke angkasa lepas bersama syarikat Virgin Galactic.










