BAITULMUQADDIS: Penduduk Palestin mengecam tindakan Israel meluluskan pembinaan lebih 3,000 penempatan haram baharu di wilayah yang dijajah di Tebing Barat.
Berdasarkan laporan Reuters, seorang pegawai pertahanan Israel memaklumkan Jawatankuasa Perancangan Pihak Pentadbiran Sivil Israel memberikan kelulusan akhir untuk membina 1,800 unit kediaman dan sokongan awal terhadap pembinaan 1,344 unit kediaman lagi di Tebing Barat.
Lapor Al Jazeera, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel, Peace Now juga mengesahkan kelulusan projek pembinaan penempatan haram itu.
Kelulusan itu bertentangan dengan kritikan hebat dilemparkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden terhadap projek sedemikian.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil `pendirian tegas’ terhadap keputusan Israel.
Penempatan di wilayah Pales tin yang dijajah jelas haram di bawah undang-undang antarabangsa dan kebanyakan komuniti antarabangsa.
Namun, Israel secara berterusan meluaskan penempatan sehingga menjadikan penyelesaian dua negara yang disokong antarabangsa semakin mustahil dicapai.
Dalam pada itu, seorang jurucakap pergerakan Hamas, Hazem Qassem menyifatkan `kelulusan itu mengesahkan tingkah laku peluasan penempatan yang sememangnya wujud dalam semua rejim Zionis’.
“Kami menggesa Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan semua pihak antarabangsa untuk mengambil tindakan serta menghentikan tindakan Israel meluaskan penempatan haram di tanah kami,” katanya.
KONFLIK AS-ISRAEL
Sementara itu, Mahmoud Abbas menyifatkan keputusan berkenaan sebagai ‘mesej penghinaan terhadap usaha pentadbiran AS’.
Israel memulakan projek penempatan haram secara agresif ketika era pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dengan meluluskan rancangan pembinaan lebih 12,000 penempatan haram, tahun lalu.
Menurut Peace Now, ia merupakan jumlah paling tinggi sejak pertubuhan itu mula mengumpul data pada 2012.
Keputusan Israel meneruskan rancangan membina penempatan haram turut menimbulkan pergeseran dengan kuasa Eropah dan AS.
Khamis lalu, Jerman dan 11 negara Eropah yang lain menggesa Israel menukar semula keputusan tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama, kementerian luar Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, Norway, Poland, Sepanyol dan Sweden menyuarakan tentangan kuat mereka terhadap dasar perluasan penempatan di seluruh wilayah Palestin yang dijajah.
Kenyataan negara Eropah itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membantah rancangan penempatan tersebut semasa panggilan telefon dengan Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz.
Baru-baru ini, Jabatan Negara AS menyuarakan kebimbangannya mengenai rancangan Israel untuk meluaskan penempatan baharu termasuk di Tebing Barat. – REUTERS/AGENSI










