13 maut dalam serangan peluru berpandu pemberontak Houthi - Utusan Malaysia

13 maut dalam serangan peluru berpandu pemberontak Houthi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YEMEN: Seramai 13 orang termasuk seorang kanak-kanak maut dalam serangan peluru berpandu dilancarkan oleh pemberontak Houthi yang menghentam sebuah rumah ketua puak di selatan bandar Marib.

Perkara itu dimaklumkan oleh sumber tentera dan perubatan.

“Peluru berpandu balistik Houthi terkena rumah Sheikh Abdul Latif al-Qibli di Al-Jawba pada petang semalam semasa mengadakan pertemuan dengan ketua puak yang berlawan di pihak kerajaan.

“Seramai 13 orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh,” kata seorang pegawai tentera kerajaan.

Angka kematian tersebut juga disahkan oleh sumber perubatan di kawasan kejadian itu.

Selain itu, pegawai tentera berkata, serangan peluru berpandu tersebut juga mengorbankan empat ketua puak.

Menteri Penerangan Yaman, Moammar al-Eryani dalam satu ciapan di Twitter memaklumkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh termasuk dua anak lelaki Qibli yang nasib mereka tidak diketahui.

Dilaporkan, kumpulan pemberontak Houthi berusaha untuk merampas bandar Marib pada Februari lalu dan serangan semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Baru-baru ini, kumpulan itu mendakwa sudah sampai di sekitar Marib dan hampir menawan bandar tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN