Wanita 'where’s your badge?' berkali-kali tak pakai pelitup muka dihukum penjara - Utusan Malaysia

Wanita ‘where’s your badge?’ berkali-kali tak pakai pelitup muka dihukum penjara

GAMBAR yang tular di media sosial menunjukkan Phoon Chiu Yoke enggan memakai pelitup muka biarpun diminta berkali-kali oleh penjaga penjarakan fizikal di Singapura. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Wanita berusia 54 tahun yang dirakam tidak memakai pelitup muka di Marina Bay Sands dan beberapa tempat awam lain dijatuhi hukuman penjara 16 minggu.

Phoon Chiu Yoke hari ini mengaku bersalah atas sembilan dakwaan melanggar peraturan Covid-19.

Berita Mediacorp melaporkan, Chiu Yoke pertama kali mendapat sorotan berita pada Mei lalu, setelah satu video tular menunjukkannya bertekak dengan duta jarak selamat di Marina Bay Sands kerana tidak memakai pelitup.

Dia awalnya berdepan dengan 22 dakwaan, termasuk satu kerana tidak memakai pelitup di luar Mahkamah Negara pada Mei, di mana dia dirakam melakukan demikian oleh anggota media.

Timbalan Pendakwa Raya Heershan Kaur berkata, tertuduh telah meninggalkan bilik hotelnya tanpa memakai pelitup muka di Marina Bay Sands berkali-kali ketika masih menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) setelah pulang dari Britain pada Jun tahun lalu.

Mahkamah juga diberitahu Chiu Yoke – yang hadir di mahkamah melalui persidangan video ketika ditahan reman – telah mengunjungi kedai makan dan menghadiri perhimpunan gereja di Saint Andrew’s Cathedral dengan tidak memakai pelitup muka.

Ini antara sebahagian daripada kejadian di mana dia melanggar peraturan Covid-19.

Lagi 13 dakwaan diambil pertimbangan dalam menjatuhi hukuman.

Pihak pendakwa menuntut tempoh penjara antara 17 hingga 22 minggu, sementara peguam bela, Amos Cai memohon hukuman denda untuk anak guamnya dikurangkan.

Chiu Yoke ditahan sejak 24 Julai lalu, sebulan setelah dia ditemukan tidak memakai pelitup muka di Mandarin Orchard pada 25 Jun, sementara dia diikat jamin atas beberapa tuduhan serupa.

Dia didakwa sebulan kemudian dan direman apabila jaminan S$12,000 ditarik balik.

Chiu Yoke pertama kali didakwa pada Disember tahun lalu setelah dikatakan gagal memakai pelitup menutupi hidung dan mulutnya di pusat penjaja Newton pada 8 Mei 2020, dalam tempoh ‘pemutus rantaian jangkitan’ Singapura.

Semasa perbicaraan sebelum ini, tertuduh menggesa pihak pendakwa menggugurkan tuduhan terhadapnya atas kesalahan prosedur, dengan mendakwa dia adalah ‘bekas pegawai tentera laut yang profesional’.

Dia direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi penilaian psikiatri. Namun perincian laporannya tidak diberikan di mahkamah terbuka.

Tertuduh akan mula menjalani hukumannya dengan mengambil kira tempoh semasa ditahan reman.

Atas setiap tuduhan melanggar perintah kawalan Covid-19, tertuduh boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN